Ahmad (tengah) mengaminkan doa dalam program Ziarah Kasih di Kampung Parit Madirono, Benut, Pontian, malam tadi.

PONTIAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan hadir dalam satu mesyuarat berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Isnin ini.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini.

“Sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada Ahad ini, Presiden UMNO akan menghadiri mesyuarat PRK DUN Mahkota di Saujana, Johor Bahru.

“Pertemuan atau mesyuarat itu nanti membabitkan dua kumpulan iaitu UMNO Johor termasuk ketua bahagian dan kumpulan kedua membabitkan Kerajaan Perpaduan di Johor,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian selepas program Ziarah Kasih di Kampung Parit Madirono, Benut, dekat sini, malam tadi.

Mesyuarat di Saujana itu merupakan pertemuan rasmi pertama membabitkan PRK DUN Mahkota yang akan dipengerusikan Ahmad Zahid antara UMNO dan PH Johor.

Sabtu lalu, PH mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK DUN Mahkota pada 28 September nanti.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PH dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan pada minggu lalu.

Pertikaian mengenai kerusi DUN Mahkota antara BN dan Parti Amanah Negara (Amanah) tercetus susulan desakan Amanah Kluang supaya diberi peluang bertanding pada PRK berkenaan.

Bagaimanapun Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan pada sidang akhbar Ahad lalu, akur dengan keputusan calon UMNO akan bertanding bagi PRK DUN Mahkota.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai calon pada PRK DUN Mahkota, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan, itu hanya boleh diulas Ahmad Zahid.

“Berkenaan calon, UMNO Johor tak akan ulas, biarlah Presiden parti yang jawab, cumanya daripada segi jentera pada PRK itu, perlu bergerak awal untuk dekati ramai pengundi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast