Gambar hiasan.

MUAR – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan khianat membakar sebuah rumah ibadat, di Tangkak bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Nizam A Rahman, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api yang menyebabkan kebinasaan di sebuah rumah ibadat, di Kebun Baru, Tangkak pada pukul 3.30 pagi, 15 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan juga denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh dikatakan membawa diesel dari rumahnya tidak jauh dari lokasi kejadian lalu menyimbah ke arah rumah ibadat terbabit.

Dia kemudian menyala api menyebabkan rumah ibadat tersebut terbakar.

Secara kebetulan, rumah ibadat itu terletak di tepi jalan dan orang ramai melalui lokasi sempat menghubungi talian kecemasan.

Satu laporan dibuat di Balai Polis Kebun Baru dengan siasatan dijalankan polis membolehkan tertuduh ditahan pada hari kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 24 September depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast