Seramai 13 individu termasuk seorang wanita yang didakwa menculik seorang lelaki Palestin dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto SYADILA AMARI, 02 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan membantah permohonan 13 lelaki dan seorang wanita untuk dilepaskan dengan jaminan atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Badius Zaman Ahmad berhujah pendakwaan membantah permohonan itu dengan mengambil kira kesalahan dilakukan kesemua tertuduh adalah serius dan berkepentingan awam kerana melibatkan keselamatan negara serta terdapat isu antarabangsa.

“Pihak pendakwaan bukan saja-saja nak tuduh mereka kerana ada keterangan yang relevan dan kukuh dalam kes ini. Ada rakaman kamera litar tertutup, pembuktikan transaksi serta komunikasi…mereka juga ada risiko untuk melarikan diri, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan,” katanya semasa pendengaran permohonan jaminan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy.

Beliau yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman berkata sekiranya kesemua tertuduh dilepaskan dengan jaminan, berkemungkinan saksi pendakwaan dan mangsa akan diganggu tertuduh kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai hubungan keluarga.

Peguam Norma Goh Kim Lian, yang mewakili 10 daripada 14 tertuduh berkata kes tersebut tidak melibatkan keganasan dan kecederaan serta tidak melibatkan wang tebusan, malah mereka tidak mengenali atau mempunyai hubungan dengan mangsa.

“Oleh itu, pembelaan memohon supaya kesemua anak guam dilepaskan dengan jaminan kerana mereka tiada risiko untuk melarikan diri atau untuk tidak hadir ke mahkamah, selain mereka bersedia sekiranya mahkamah mengenakan syarat jika jaminan diberikan,” kata peguam itu.

Goh mewakili Mohamad Norakmal Hassan, Dody Junaidi, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, Mohamad Naziree Mustapha, Faizull Hardey Mohd Isa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, Mohamad Sufian Saly, Mohd Zaidi Mohd Zain, Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid dan Mohd Azwan Jamaludin yang berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun.

Sementara itu, peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan yang mewakili Raibafie Amdan, 41, berkata anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan juga suami kepada tertuduh wanita Nidarahayu Zainal, 36, dan mereka mempunyai tiga anak yang masih bersekolah yang kini dijaga ibu saudara.

Peguam Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Nidarahayu turut memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana pasport wanita itu telah dirampas pihak polis.

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli dan Navinjit Singh, masing-masing mewakili Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 23, dan Edy Ko’im Said, 42, turut memohon supaya anak guam mereka dilepaskan dengan jaminan.

Hakim Muniandy kemudian menetapkan 3 Okt ini untuk keputusan permohonan jaminan itu.

Pada Oktober 2022, 13 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan secara niat bersama menahan mangsa, 31, untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 Sept 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman minimum penjara 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi dan bukan Mahkamah Sesyen.

Di awal prosiding, Mohd Azwan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast