SEOUL – Tujuh orang terbunuh dan 12 lagi cedera termasuk tiga parah dalam kebakaran di sebuah hotel di Korea Selatan.
Kebakaran berlaku pada malam Khamis di sebuah bilik di tingkat lapan sebuah hotel di Bucheon, kata Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Punca kebakaran, yang dipadamkan kira-kira tiga jam selepas ia bermula, masih belum diketahui.
Hotel sembilan tingkat itu mempunyai 64 bilik dan 27 tetamu yang sedang menginap di sana ketika kebakaran berlaku.
Walaupun api tidak merebak secara meluas di dalam bangunan itu, asap yang dihasilkannya membawa kepada kemalangan jiwa, lapor agensi berita Yonhap. – Agensi