Liew Chin Tong
Liew Chin Tong

JOHOR BAHRU – DAP mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih terperangkap dalam nostalgia jawatan Perdana Menteri yang pernah dijawatnya dalam masa singkat semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan Pusat.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong mendakwa, Muhyiddin seakan masih berada dalam kepompong masa lalu sehingga didakwa tidak dapat bergerak ke hadapan dengan realiti semasa.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku dalam keadaan PN yang kini mengalami kemerosotan sokongan berpunca daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ini susulan kontroversi terbaru membabitkan Muhyiddin dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut beliau, situasi itu berbeza dengan Pas yang terus kukuh dan jika parti itu berjaya membawa pembaharuan dan bergerak mengatasi sentimen kaum dan agama, diramalkan akan terus kekal kuat.

“Saya berpendapat bahawa PN sebagai pembangkang sedang merosot ketika ini.

“Ia diburukkan dengan kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri selain kontroversi Pengerusi PN itu dalam kemelut dengan Al-Sultan Abdullah kerana menyentuh kewibaan baginda ketika berkempen di Nenggiri.

“Antara punca membawa kepada kemerosotan PN adalah Muhyiddin dilihat masih terjebak dan terperangkap dalam kemegahan masa lalunya sebagai Perdana Menteri dalam masa singkat sekali gus tidak dapat bergerak ke depan melepasi fasa itu.

“Muhyiddin masih bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Beliau terus memperkatakan tentang peristiwa penubuhan kerajaan pada November 2022, sekali gus menyebabkannya mempersoalkan keputusan rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu. Ia adalah cerminan menyedihkan tentang fantasi yang tidak kesampaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular dalam media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum PRK Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Pada 19 Ogos lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilaporkan menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap PN itu yang secara sengaja menyentuh sentimen raja, agama dan kaum (3R).

Mengulas lanjut, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kekuatan Bersatu hari ini hanyalah bersandarkan kepercayaan ahlinya bahawa Muhyiddin boleh membuat kemunculan semula sebagai Perdana Menteri.

“Idea ini (Muhyiddin kembali sebagai PM) telah menyebabkan PN berjaya memenangi 74 daripada 22 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan bantuan Pas,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, idea untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak lagi mampu menyelamatkan parti itu lagi.

“Apatah lagi Pas telah melahirkan pemimpin meningkat naik, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar, sebagai calon Perdana Menteri yang seterusnya,” katanya.

Chin Tong berkata, Bersatu juga berhadapan banyak isu perbezaan dalaman termasuk jangkaan perpecahan antara pemimpinnya susulan pemilihan parti yang akan diadakan Oktober nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast