KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu tampil membantu terutamanya daripada segi peruntukan kepada keluarga mangsa seorang pelancong warga India yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat lepas.
Misi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga oleh pihak berwajib masih lagi menemui jalan buntu kerana mangsa masih belum ditemui setakat pagi ini.
Menurut Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, keluarga itu wajar diberi ganti rugi serta bantuan lain kerana ‘kehilangan ahli keluarga sekelip mata’ dalam insiden tragis kelmarin.
“Siapa sangka insiden seperti ini akan berlaku kepada pelancong India ini. Kerajaan perlu tampil bantu bukan sahaja dalam misi mencari dan menyelamat sebaliknya semua tanggungan lain.
“Apa yang berlaku ini sangat tragis, mengejutkan dan mengecewakan kerana kita sedang bercakap tentang nyawa dan keselamatan seseorang lagi-lagi warga asing yang datang melancong ke negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata Murugiah, isu itu walaupun melibatkan kejadian tidak diduga akan berlaku namun tanggungjawab untuk menjaga keselamatan serta lain-lain masih terletak pada pihak berwajib.
“Dalam pada itu, saya juga berharap insiden ini akan menjadi satu pengajaran dan eye opener kepada semua khasnya pihak berwajib supaya mengkaji dan memperbetulkan semua aspek melibatkan keselamatan umum.
“Banjir kilat yang teruk baharu sahaja berlaku di sekitar Kuala Lumpur beberapa hari lepas, banyak kenderaan musnah dan kerugian lain. Adakah kita akan bertindak selepas berlakunya malapetaka? Tolonglah.
“Jangan hanya beri alasan demi alasan, jawapan kepada semua persoalan sebaliknya penyelesaian kerana akhirnya ini melibatkan nyawa manusia,” ujarnya.
Memasuki hari ketiga hari ini, seorang wanita warga India yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di kawasan Masjid India itu smasih gagal ditemui sehingga kini.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, operasi pencarian kini ditumpukan di lima ruang kumbahan yang terdapat dalam lingkungan. – MalaysiaGazette