PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan reman seorang lagi individu warga Myanmar berhubung kes membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya.
Suspek warga asing itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk perintah reman sebelum Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan tempoh reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 Ogos depan untuk membantu siasatan lanjut SPRM.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan membantu siasatan dalam kes tersebut.
Reman terhadap suspek ini adalah susulan penahanan 11 individu termasuk empat penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasa yang berkhidmat di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu menerusi Op Pump yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Kesemua yang ditahan dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya,” katanya.
Tambah sumber lagi, tangkapan wanita Myanmar itu turut berjaya membawa SPRM kepada sitaan seunit telefon bimbit milik suspek tersebut.
Dalam pada itu, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang individu warganegara Myanmar selama lima hari sehingga 29 Ogos ini.
Perintah sambung reman terhadap suspek yang berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.
Sebelum ini, suspek itu telah direman selama lima hari bermula 21 Ogos lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette