Pasukan perubatan HQE 2 dan UMS melakukan pembedahan otak secara sedar ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik.

KOTA KINABALU – Pakar bedah otak dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dan pakar bius otak Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak secara sedar ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik (TBI), baru-baru ini.

Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Bedah Saraf HQE2, Dr. Mohd Sofan Zenian dalam satu kenyataan berkata, pesakit lelaki itu mengalami kecederaan tersebut apabila terjatuh ketika berjalan kaki di taman perumahannya dua minggu lalu dan mengalami pendarahan subdural kronik kiri yang besar (SDH).

“Akibatnya, beliau mengalami sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan.

“Memandangkan fungsi sarafnya yang semakin merosot, kami segera menghantarnya ke dewan bedah untuk menjalani mini kraniotomi bagi mengalirkan darah beku yang lama,” katanya.

Beliau menambah, tujuan melakukan pembedahan tersebut secara sedar adalah untuk menilai fungsi sarafnya secara intraoperatif, yang bertambah baik berikutan pengaliran kira-kira 30ml bekuan darah, dan pesakit difahamkan telah pulih sepenuhnya.

Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanaestetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Yeap Boon Tat memaklumkan pembedahan mini kraniotomi secara sedar pada pesakit tersebut, yang juga mengalami penyakit kardio-pernafasan, adalah tepat pada masanya.

“Prosedur ini akan mengelakkan dari kesan sampingan pembiusan secara tidur dan mengurangkan keperluan pesakit untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Ini juga penting untuk mengurangkan kadar jangkitan penyakit nosokomial di ICU,” katanya. – MalaysiaGazette