GEORGE TOWN – Seramai 345 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ditugaskan untuk raptai dan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Negeri Pulau Pinang selama tiga hari bermula esok.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, penugasan itu membabitkan kawalan keselamatan serta kelancaran lalu lintas.
“Bagi raptai penuh esok penugasan membabitkan seramai 90 anggota dan 35 lagi ditugaskan sepanjang raptai persembahan pada Jumaat.
“Manakala pada hari sambutan (Hari Kebangsaan) iaitu Sabtu ini, seramai 220 kekuatan pegawai dan anggota ditugaskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan media Razlam berkata, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Lebuh Light, Pengkalan Weld dan Lebuh Pantai ditutup sepanjang tempoh itu.
“Laluan berkenaan ditutup sepenuhnya bermula jam 12.01 tengah malam hingga 12 tengah hari.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan atau gunakan laluan alternatif sepanjang penutupan jalan berkenaan selain meletakkan kenderaan di kawasan sepatutnya,”ujarnya. – MalaysiaGazette