Dua lori bertembung dan terbabas jatuh gaung, dua terkorban Gambar : IPD Temerloh

KUANTAN –  Dua lelaki warga asing terkorban dalam nahas membabitkan dua buah lori yang bertembung di Jalan Utama Bukit Damar, Lanchang, Temerloh pada jam 9.26 malam tadi.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Inokom dinaiki empat individu dan treler Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat lori Inokom yang dari arah Raub ke Kuantan itu yang telah terbabas ke kiri jalan di atas bahu jalan tidak berturap dan masuk semula ke laluan utama.

“Bagaimanapun, lori itu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler yang tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua lori terbabit telah terbabas jatuh ke dalam gaung sebelah kanan jalan sedalam 20 meter.

Mazlan berkata, akibat kejadian itu, penumpang lori Inokom yang merupakan pekerja am warga Bangladesh dan Pakistan telah mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lanchang.

Pemandu lori berusia 28 tahun dan seorang lagi penumpang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun serta pemandu treler turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temerloh untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast