KUANTAN – Polis sedang mengesan seorang Ahli Bersekutu dalam sebuah pertubuhan kerana menyalahguna Darjah Indera Mahota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Menurut kenyataan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri itu telah menerima laporan berhubung kes tersebut daripada Pertubuhan Pencegahan Jenayah Kebangsaan baru-baru ini.
“Susulan laporan tersebut, beberapa dokumen telah dirampas daripada penama dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan dan menangkap suspek,” katanya.

Beliau memberitahu, suspek boleh dituduh di bawah Seksyen 3 (1) (a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan tertentu.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan Darjah Kebesaran Palsu kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah dalam kes ini,” Yahaya berkata. – MalaysiaGazette
















