M Kumar

JOHOR BAHRU – Polis Johor melakukan siasatan terperinci ke atas kes seorang pegawai dan tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang dilaporkan terbabit dalam kes pemerasan, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, keempat-empat anggota berkenaan sudah ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis pada 28 Ogos lalu sebelum diberikan jaminan polis terhadap mereka.

“Kita sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Keempat-empat suspek sudah ditangkap untuk siasatan lanjut.

“Proses siasatan sedang berjalan dan kita sedang mengumpul bukti. Sekiranya dapat bukti yang diperlukan untuk bantu siasatan, kertas siasatan seperti biasa akan dirujuk ke Bukit Aman dan seterusnya kita serahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Katanya, selain siasatan bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, pihaknya turut mengarahkan siasatan dalaman juga dijalankan dengan segera.

“Kita memberi jaminan bahawa siasatan akan dibuat secara telus dan tindakan tegas dari sudut perundangan akan diambil sekiranya ada bukti.

“Setakat ini, memandangkan siasatan masih berjalan, suspek ditempatkan di unit yang tidak aktif,” jelasnya.

Ditanya mengenai dakwaan pengadu bahawa suspek menyatakan dia tebabit dalam isu penipuan (scammer), Kumar berkata, ia mungkin satu andaian.

“Itu saya ingat andaian sahaja yang tiada bukti,” katanya.

Difahamkan, seorang peniaga membuat laporan polis pukul 4.15 pagi 28 Ogos lalu mendakwa dia didatangi dua lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis selepas selesai makan bersama seorang rakan di sebuah restoran dekat Austin Height pukul 5 petang 27 Ogos lalu.

Pengadu mendakwa, dua pegawai polis itu mengambil telefon bimbit dia dan rakan sebelum meminta mereka masuk ke dalam sebuah kereta dan dibawa ke IPD Seri Alam.

Pengadu dan rakannya mendakwa mereka diminta masuk ke dalam satu ruangan pejabat sebelum dua lagi pegawai polis memberitahu pengadu bersama rakannya terbabit dalam sindiket ‘scammer’ dan pemerdagangan manusia.

Mereka mendakwa polis itu meminta sejumlah wang bernilai RM150,000 jika ingin menyelesaikan kes itu sebelum mengurangkannya kepada RM45,000 secara tunai.

Pengadu dan rakannya itu kemudian mendakwa dibawa ke bank untuk mengambil baki wang sebanyak RM15,000 kerana hanya mempunyai RM30,000 di tangan, sebelum dihantar semula ke lokasi pengadu meletakkan kenderaan dan dibebaskan selepas semua RM45,000 diserahkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast