Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- AmBank Group (AmBank) menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 4.9 peratus daripada anggaran awal 4.5 peratus.

Dalam nota tinjauan makroekonominya bagi separuh pertama 2024 hari ini, bank berkenaan menjangkakan pertumbuhan positif dalam dua suku berbaki tahun ini susulan asas tahun lepas yang lebih rendah selain prospek perdagangan yang positif.

Selepas mencatat pertumbuhan sederhana pada 3.6 peratus dalam 2023, ekonomi Malaysia dijangka berada dalam lingkungan unjuran 4.0-5.0 peratus yang AmBank percaya dapat direalisasikan pada 4.9 peratus.

“Sektor swasta tempatan domestik menjadi tonggak ekonomi, disokong oleh peningkatan pasaran tenaga kerja yang berterusan dengan data terkini menunjukkan kadar penyertaan tenaga itu mencecah paras tertinggi baharu sebanyak 70.4 peratus pada Jun 2024,” katanya.

Jelas AmBank, walaupun eksport bersih menjadi kekangan ketara bagi pertumbuhan dalam 2023, aspek ini sebaliknya diunjur menyumbang kepada pertumbuhan dinamik pada beberapa bulan akan datang.

Menurutnya, ini susulan pemulihan kitaran peningkatan semikonduktor global dengan kenaikan purata memberangsangkan sebanyak 16.7 peratus pada separuh pertama 2024 selepas menguncup 10.5 peratus pada 2023.

“Keadaan ini akan meningkatkan prospek pertumbuhan Malaysia, khususnya eksport elektrikal dan elektronik (E&E) yang pulih kepada 2.1 peratus dalam suku kedua 2024 (suku pertama 2024: -5.8 peratus) selepas menyaksikan aliran menguncup selama empat suku berturut-turut.

“Perkembangan ini mendorong kepada semakan semula unjuran sebelum ini,” katanya.

Namun, pada masa sama, AmBank tidak menolak kemungkinan wujudnya beberapa risiko penurunan utama walaupun yakin dasar monetari dan fiskal akan terus kekal menyokong ekonomi negara.

Risiko itu termasuk pemulihan luaran pemulihan lebih rendah daripada jangkaan berikutan ketegangan konflik Timur Tengah yang berlanjutan dan berpotensi menjejaskan pasaran komoditi; kelembapan pemulihan China dan pertumbuhan ekonomi atau negara-negara maju yang kian menyederhana, katanya.

Selain itu, AmBank juga menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi separuh kedua 2024 akan kekal berikutan kadar inflasi Malaysia yang rendah serta tahap pengangguran yang stabil.

“Kami menjangkakan OPR kekal pada tiga peratus bagi separuh kedua 2024 yang memadai untuk menyokong ekonomi domestik,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast