BUTTERWORTH – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang individu berhubung jual beli jongkong emas palsu membabitkan kerugian RM32,000 pada Jun lalu.
Tertuduh, Teh Yong Yang, 33, dan Ooi Kar Hon, 42, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @Ghani.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menipu lelaki berusia 64 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dua ketul Swiss Gold Bar adalah tulen.
Tukang kunci dan penjaja itu didapati dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM32,000 yang mana dia tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Jun jam 12.59 tengah hari dan 14 Jun lalu, jam 11.01 pagi di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Bagan Ajam, di sini.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabut kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin berjumlah RM14,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Oktober depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sementara itu, di mahkamah sama, Yong Yang mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan memperdayakan seorang wanita dengan menjual emas palsu membabitkan kerugian RM34,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran nasi kandar di sini, antara jam 9 pagi hingga 6.34 petang pada 14 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh dibenarkan ikat jamin RM14,000 beserta seorang penjamin dengan tarikh sebutan yang sama. – MalaysiaGazette