perkhidmatan bantuan guaman Azalina UMNO
Azalina Othman Said

KLUANG- Jabatan Perdana Menteri sehingga kini masih menunggu mana-mana pihak termasuk Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan cadangan bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti dipinda bertujuan menambah baik akta berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pihaknya juga tidak mengetahui yang Sekretariat terbabit akan membincangkannya atau sebaliknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata sebarang pindaan terhadap undang-undang berkenaan boleh dilakukan, namun harus memaklumkan kepada pihaknya.

“Banyak kepimpinan (pemimpin) mengakui akta itu ada kelonggaran, itu yang penting…tetapi pandangan saya secara peribadi, saya nakkan ada ‘recall bin’ kalau seorang Ahli Parlimen sudah mengangkat sumpah bila dia lompat parti.

“Tapi kalau parti hendak mendisiplinkan dia (wakil rakyat) perlu ada cara lain seperti memanggil pengundi untuk menentukan sama ada ahli itu kekal atau terkeluar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, di sini hari ini.

Tambah beliau, setiap parti perlu mainkan peranan untuk tentukan calon mereka itu berpegang kepada disiplin parti masing-masing.

“Tetapi dengan banyaknya pilihan raya yang berlaku, setiap parti perlu mainkan peranan untuk tentukan calon mereka itu berpegang kepada disiplin parti.

“Bagi UMNO dan BN (Barisan Nasional) kami sudah sedia sebelum PRU (Pilhan Raya Umum) ke-15….kami sudah sedia,” katanya.

Terdahulu pada 15 Julai lepas, Azalina dilaporkan berkata pindaan kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Anti Lompat Parti perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.

Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu sepertimana dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast