Logo Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir segera mengumumkan Rektor baharu UIAM yang dikosongkan sejak 31 Ogos lalu.

Presidennya, Khalek Awang berkata, kekosongan Rektor untuk tempoh yang lama adalah sesuatu yang tidak baik daripada segi tata kelola.

Ujar beliau, pelantikan segera itu penting untuk memulihkan kedudukan UIAM yang telah menyimpang daripada falsafah asal penubuhan.

“Hari ini reputasi dan prestasi UIAM juga telah merosot dari segi `world ranking’ (kedudukan dunia), berbanding dengan kedudukan semasa YAB Dato’ Seri Anwar menjadi Presiden UIAM pada tahun 90an.

“Rekod UIAM juga merosot setiap tahun dari segi jumlah pelajar antarabangsa. Hanya seramai 183 orang pelajar antarabangsa mendaftar pada sesi pengajian yang lepas, berbanding lebih 1,000 orang pada tahun-tahun sebelum 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Khalek, pihaknya juga mahu Rektor baharu kelak mempunyai integriti, kewibawaan akademik dan memahami serta yang paling penting dapat kembali mendokong falsafah UIAM yang asal.

Sebelum ini, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak menyandang jawatan Rektor UIAM yang keenam. – MalaysiaGazette