KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy menyifatkan Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kenyataannya berhubung isu pensijilan halal.
Malah, beliau turut bersetuju dengan pendirian Ahli Parlimen Seputeh berkenaan dalam isu itu dan beranggapan pelaksanaan mandatori supaya restoran bukan Melayu mendapatkan sijil halal adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Dalam masa sama, Ramasamy turut mempersoalkan mengapa restoran bukan Islam yang tidak menghidangkan alkohol dan makanan tidak halal perlu mengambil tahu mengenai keperluan mendapatkan sijil halal.
Malah, tambahnya, restoran Melayu yang diusahakan secara kecil-kecilan yang berdepan kesukaran untuk bertahan juga tidak sepatutnya dibebankan dengan keperluan mendapatkan sijil halal.
“Untuk mendapatkan sijil halal bukan perkara yang mudah dan ia melibatkan kos yang boleh membebankan pengusaha restoran kecil dan sederhana.
“Ia juga bukan bermakna tanpa sijil halal sesebuah restoran itu tidak bersih dan tidak sihat.
“Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak keterlaluan dalam pelaksanaan sijil halal terhadap restoran ini.
“Saya percaya ia seharusnya dilakukan secara sukarela mengambil kira faktor kos yang perlu ditanggung oleh pengusaha restoran kecil dan sederhana Melayu serta restoran bukan Melayu,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Ramasamy yang juga Presiden Interim Parti Hak Bersatu Rakyat Malaysia (Urimai) turut mempersoalkan pendirian sebenar kerajaan berhubung isu terbabit selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kenyataan Teresa itu tidak mewakili pendirian Kerajaan Perpaduan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan apa tindakan yang boleh diambil terhadap Teresa di sebalik sama ada 10 atau 100 laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin DAP berkenaan.
“Teresa sebagai Ahli Parlimen menyuarakan pandangannya iaitu apa yang dimahukan oleh rakyat di kawasan yang diwakilinya.
“Sama ada Anwar bersetuju dengan pendiriannya atau tidak bukanlah sesuatu yang penting, (sebaliknya) Anwar perlu berhenti bermain politik dalam isu melibatkan agama,” katanya. – MalaysiaGazette

















Si Ramasamy ni pun mungkin dah lupa Negara yg dia duduk ni Agama rasminya Agama Islam.Boleh pulak cakap Perdana Menteri kita macam tu???Agak agak lama Aya…Makan boleh sebarang makan cakap jgn sebarang cakap tentang Agama dan juga Perdana Menteri kita…