Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar disifatkan sebagai seorang yang sangat berdisiplin dan mementingkan ketelitian sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Komander Unit Tindak Khas (UTK), Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin berkata, keperibadian yang ditonjolkan  Hanif itu membuatkannya disanjungi sebagai seorang KPN yang mempunyai kepimpinan luar biasa.

Beliau mengimbas kembali mengenai sesi taklimat peristiwa Krisis Penjara Pudu yang mana Hanif mahu butiran yang terperinci tentang operasi berkenaan daripada para pegawai kanannya.

“Pada masa yang sama, allahyarham (Hanif) mencurahkan banyak idea dan akan meminta pandangan dari anggota-anggotanya yang lain untuk turut sumbangkan idea,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis A Tribute to Tun Hanif Omar di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh isteri allahyarham, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid dan keluarga serta kira-kira 100 orang terdiri daripada barisan pegawai kanan, anggota-anggota lain pangkat serta pesara polis.

Mengulas lanjut, Meor Chek memberitahu, sepanjang mengenali Hanif beliau juga seorang yang sentiasa berfikir ke hadapan dan mempunyai perancangan untuk PDRM.

Katanya, pada tahun 1975 hingga 1976, muncul ancaman keganasan antarabangsa di Timur Tengah akibat pergolakan dan pemberontakan dan Hanif menjangka ia akan merebak ke Asia Tenggara.

“Ketika itu beliau (Hanif) telah mencadangkan Unit Tindak Khas diwujudkan untuk membanteras kegiatan keganasan sebelum pada tahun 1975, negara telah dikejutkan dengan Krisis Tebusan Bangunan AIA di Jalan Ampang,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, ia telah berjaya ditangani beliau dengan bijaksana dengan kerjasama tempatan dan antarabangsa.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi ucapan dibacakan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, semasa penugasan Hanif sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara, beliau terlibat secara langsung meredakan kekacauan antara kaum yang berlaku selepas Peristiwa 13 Mei 1969.

Jelas Razarudin, selain itu, Hanif turut berjaya membendung beberapa insiden krisis politik dan tunjuk perasaan yang menjejaskan ketenteraman awam di Sarawak, Sabah, Kelantan dan Kedah.

“Pada 4 Ogos 1975 pula, Hanif turut menghadapi satu lagi insiden yang menggemparkan negara iaitu Krisis Tebusan Bangunan AIA apabila Pengganas Tentera Merah Jepun merampas Bangunan AIA di Jalan Ampang dengan menjadikan seramai 53 orang awam dan diplomat sebagai tebusan selama tiga hari.

“Dalam menghadapi krisis ini, beliau (Hanif) memainkan peranan mengetuai operasi melibatkan kira-kira 300 orang anggota polis bersenjatakan senapang serta dua ekor anjing polis bernama Jin dan Pedang yang turut dibawa ke dalam Bangunan AIA untuk membantu polis.

“Tumpuan strategi diberikan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelak pertumpahan darah dan kemalangan jiwa kepada tebusan serta pihak berkuasa.

“Walaupun Malaysia bukanlah sebuah kuasa besar namun melalui hubungan baik peringkat antarabangsa, krisis global berjaya diselesaikan melalui rundingan damai dan semua tebusan berjaya diselamatkan,” katanya.

Razarudin menambah satu lagi situasi getir yang dihadapi dan ditangani Hanif adalah Krisis Penjara Pudu dan Penjara Pahang pada tahun 1986 dan 1987.

Jelasnya, krisis Penjara Pudu diketuai oleh Jimmy Chua bersama enam banduan lain bertindak menahan doktor dan juruteknik makmal sebagai tebusan.

“Manakala Krisis Penjara Pahang yang dilakukan oleh tiga tahanan reman warga Indonesia telah menahan Majistret Mariana Yahya sebagai tebusan tetapi kedua-dua krisis ini berjaya dipatahkan oleh Unit Tindak Khas (UTK) PDRM dan berjaya menyelamatkan ketiga-tiga tebusan tersebut,” ujarnya.

Razarudin menyifatkan kesemua peristiwa semasa Hanif  menerajui PDRM memperlihatkan kebijaksanaan pimpinan Hanif  sentiasa bersedia menangani sebarang gerakan ekstremis dan ancaman keselamatan.

Katanya, Hanif juga menunjukkan keberanian dan semangat juang yang tinggi walaupun pada saat menghadapi krisis keselamatan yang serius dengan meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap keselamatan serta ketenteraman awam.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast