KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang lagi suspek yang dikehendaki dan diburu sejak Ogos lalu bagi satu kes samun bersama anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah, Kampung Pasir Semenyih, Kajang pada 31 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tangkapan suspek kelima itu hari ini.
Katanya, suspek yang merupakan seorang warga tempatan dan berasal dari Sabah itu telah ditahan semalam.
“Saya boleh sahkan kita berjaya menahan seorang lagi suspek yang diburu sejak Ogos lalu. Suspek berusia 45 tahun dan ditahan di Lahad Datu, Sabah pagi semalam,” katanya ketika ditemui di Maktab PDRM Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Hussein, suspek kini direman selama enam hari untuk membantu siasatan lanjut dan akan didakwa di mahkamah pada 17 September depan.
“Semakan lanjut polis mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, Polis Daerah Kajang dalam satu kenyataan petang tadi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, suspek merupakan seorang penganggur.
“Tangkapan itu menjadikan keseluruhannya lima suspek ditahan setakat ini dalam kes berkenaan dan empat suspek awal yang ditahan sebelum ini berjaya dituduh di mahkamah di bawah Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971,” ujarnya. – MalaysiaGazette