KLUANG – Seramai 38 anggota polis sedia jika berlaku banjir ketika waktu berkempen dan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kelengkapan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pegawai serta anggota sudah ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk berhadapan dengan situasi banjir.
“Bot dan lori PDRM telah diletakkan di IPD Kluang bersama-sama manpower dan akan bertindak sekiranya banjir berlaku.
“Buat masa ini daripada Cawangan Khas (PDRM) hotspot politik tiada di DUN Mahkota ini, tetapi polis akan bersiap siaga untuk kawasan yang dikatakan hotspot banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas proses pencalonan PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.
Mengenai perjalanan proses penamaan calon, beliau berkata, seramai 1,027 pegawai dan anggota ditugaskan bagi menjamin kelancarannya yang membabitkan seramai kira-kira 15,000 penyokong dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, untuk tempoh berkempen polis Johor akan melibatkan seramai 772 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor, IPD Kluang dan IPD yang berhampiran dengan lima unit MPV serta 10 unit URB ditugaskan dalam satu-satu masa.
“Kita juga akan memudah cara proses perjalanan demokrasi tetapi memberikan amaran keras ketika keghairahan berkempen jangan sekali-kali menyentuh isu 3R (agama, perkauman dan istitusi Diraja) serta mematuhi undang-undang,” katanya
Terdahulu, pada penamaan calon berkenaan, dua calon akan bertanding iaitu daripada BN adalah Syed Hussien Syed Abdullah dan akan ditentang oleh calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Sept adalah hari pengundian, manakala 24 September ini adalah pengundian awal bagi PRK DUN Mahkota dan bermula hari ini sehingga 12 tengah malam 27 September adalah tempoh berkempen.- MalaysiaGazette