Pelajar membuat rekaan di ruang pameran Kemahiran Cabaran pada Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Negara 2024 di ILP Kuala Langat, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 08 JUN 2024. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk menaikkan penetapn gaji premium kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada kadar RM2,500 hingga RM4,000 disambut baik Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir).

Bagaimanapun, setiausahanya, Mohammad Rizan Hassan berkata. kenaikan tersebut perlu disokong dengan jaminan kualiti latihan di insitusi latihan TVET.

Ia penting membantu memastikan graduan TVET bersedia untuk bekerja dan memenuhi piawaian industri yang membawa kepada potensi pendapatan yang lebih tinggi.

“Jaminan kualiti di Institusi Latihan TVET Awam/Swasta perlu memainkan peranan penting dalam memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi dalam pasaran kompetitif hari ini.

“Majikan sentiasa mencari calon yang terlatih yang boleh menyumbang secara berkesan kepada organisasi mereka.

“Graduan TVET boleh mendapat gaji premium kerana mereka memiliki kemahiran praktikal dan pengetahuan yang dituntut oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohammad Rizan Hassan

Dalam pada itu, Mohammad Rizan berkata. pelaksanaan gaji minimum untuk graduan TVET mempunyai beberapa implikasi antaranya mengurangkan isu kekurangan kemahiran dan turut menyumbang kepada peningkayan kualiti pendidikan TVET.

“Tambahan pula, gaji premium untuk graduan TVET meningkatkan persepsi pekerjaan teknikal dan vokasional, menonjolkan nilai dan kepentingan pekerja mahir dalam pasaran kerja yang kompetitif masa kini.

“Dengan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepakaran yang diperoleh melalui program TVET, majikan bukan sahaja menarik bakat terbaik tetapi juga menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran,” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan TVET pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000.

Penetapan kadar gaji itu melebihi pendapatan minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan ketika ini serta bertujuan menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast