Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff.

PUTRAJAYA – Seramai 120 majikan telah ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dipercayai menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu negara.

Pengarah JIM KL, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, ia berdasarkan statistik yang direkodkan sejak awal tahun hingga 19 September lalu menerusi pelbagai siri operasi yang dijalankan.

Antara siri operasi terlibat adalah Ops Pemantauan, Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Jaja, Ops Selera, Ops Gegar, Ops Dandan, Ops Minyak, Ops Serkap, Ops Bersepadu, Ops Kutip dan Ops Mahir.

“Tindakan ini dilakukan adalah hasil aduan dan risikan yang kita telah lalukan dan bagi tempoh ini sebanyak 1,170 operasi telah dilaksanakan ke atas pelbagai premis.

“Pada masa sama, kita telah memeriksa seramai 6,391 individu dan menghasilkan tangkapan PATI seramai 2,084 orang,” katanya kepada pemberita

Beliau berkata demikian selepas Kursus Latihan Kemahiran Menembak Siri 2 Tahun 2024 di Lapang Sasar Menembak Shapadu, di sini hari ini.

Menerusi program itu, seramai 18 peserta media termasuk MalaysiaGazette diberi peluang mengendalikan senjata CZ P-09 bagi acara Falling Plate sejauh 20 meter.

Mengulas lanjut Wan Mohamed Saupee berkata, daripada jumlah tangkapan yang dilakukan, 120 orang adalah majikan dan individu yang menggajikan atau melindungi PATI.

Tegasnya, tindakan ke atas semua majikan yang terlibat diambil mengikut Seksyen 55B, Seksyen 56 (1)(D) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Pemilik premis dan majikan diingatkan bahawa melindungi atau membenarkan PATI memasuki dan berada di dalam premis mereka adalah satu pelanggaran undang-undang negara.

“Tindakan itu boleh menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kita amat peka dengan kebimbangan orang awam mengenai kebanjiran PATI di Kuala Lumpur,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast