KUANTAN – “Bila dapat tahu jadi begini, sekarang saya benci orang yang pakai baju polis,”.
Begitu luahan ibu kepada seorang tahanan Orang Asli, Noramzan a/l Me, 25 yang ditemukan maut di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 3 Mei lalu.
Menurut Noriah a/p Hitam, 51, dia mengetahui bahawa anak sulungnya itu ditahan di Sungai Miang, Pekan bagi membantu siasatan berhubung satu kes kecurian motosikal pada 1 Mei lepas.
“Saya boleh terima apabila polis tangkap anak saya. Saya tahu mungkin anak saya buat salah. Tapi saya percaya dekat pegawai polis. Bila dah kena tangkap, saya senang (lega).
“Bukan tak sayang anak masa tu. Tapi saya rasa sedap hati sebab dia dah ada dalam tahanan polis, polis yang jaga,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, setelah menerima khabar duka tersebut, ibu kepada tiga anak itu kesal kerana tidak diberikan penjelasan lanjut bagaimana kejadian yang meragut nyawa anaknya itu boleh berlaku ketika dalam pengawasan pihak polis.
Bercerita lanjut, Noriah yang menetap di Kampung Orang Asli Runchang, Muadzam Shah memberitahu, dia ada dihubungi pihak polis kira-kira jam 3 pagi pada 4 Mei lalu, namun tidak sempat menjawabnya kerana telefon sedang dicas di bilik lain.
“Pada hari sama, kira-kira jam 8 pagi pihak polis sekali lagi menelefon saya memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia dan meminta kami sekeluarga ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses pengecaman dan tuntutan jenazah.
“Ketika kami sampai di HTAA, proses bedah siasat dah selesai dan mereka cakap kami dah boleh ambil, bawa balik jenazah,” ujarnya.
Noriah mendakwa beliau hanya diberitahu bahawa anaknya ditemukan mati akibat menggantung diri dan mereka sekeluarga cuba meminta pihak IPD Pekan diberi kebenaran untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokap tersebut, namun tidak dibenarkan.
Jelasnya, sehingga ke hari ini tiada maklum balas diterima daripada pihak polis selain hanya dimaklumkan bahawa kes berkenaan telah diambil alih Bukit Aman.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah melakukan siasatan berkenaan kejadian membabitkan Norazman.
“Tangkapan dibuat kerana kesalahan mencuri motosikal dan ditahan di lokap IPD Pekan.
“Kes ini telah dibuka kertas siasatan SDR (mati mengejut) selepas kematian,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.
Yahaya memaklumkan beliau bersedia untuk bertemu dengan keluarga mangsa bagi tujuan penjelasan lanjut berkaitan kes itu. – MalaysiaGazette