Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik Rang Undang-undang Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024, bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, seterusnya diluluskan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, langkah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim membawa RUU ini ke Parlimen, dalam tempoh 10 bulan sejak mengetuai Kementerian Sumber Manusia, merupakan satu perkembangan yang amat membina, signifikan dan progresif dalam memartabatkan pekerja-pekerja di Sabah.

“UNI-MLC mengucapkan penghargaan dan syabas kepada Menteri Sumber Manusia dan Kementerian Sumber Manusia kerana telah menggerak dan mempercepatkan pindaan yang sangat diharapkan.

“Hampir kesemua pandangan yang diketengahkan mempamerkan keperluan segera dan menyeluruh untuk menambah baik hak dan kepentingan pekerja-pekerja di Sabah, seperti di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di sini.

UNI-MLC yang dianggotai oleh lebih 116 kesatuan sekerja dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak senantiasa berpegang pada pendirian setiap pekerja, tidak kira gender, kawasan dan wilayah, wajar dan harus menikmati liputan yang sama rata dan saksama setiap masa dan sepanjang masa.

Menyifatkan peruntukan baharu ini, yang merupakan hadiah dan penghargaan bagi pekerja-pekerja di Sabah, UNI-MLC berharap ia akan dikuatkuasakan dengan segera, selepas diluluskan oleh Dewan Negara pada Disember ini, agar manfaat yang disasarkan dapat dicapai dan dinikmati secara menyeluruh dan holistik di Malaysia.

Dengan pindaan itu, negara ini telah memasuki era baharu yang boleh menyumbang ke arah mmemanfaatkan pekerja-pekerja di Sabah, dan membawa liputan yang sama rata sebagaimana dinikmati oleh pekerja-pekerja di Semenanjung Malaysia.

UNI-MLC, katanya, melihat banyak peruntukan yang boleh menambah baik hak dan kepentingan pekerja-pekerja di Sabah.

Antaranya termasuklah liputan pemakaian akta ini ke atas pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, tempoh cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, pengenalan cuti paterniti selama tujuh hari dan waktu bekerja 45 jam seminggu dan peruntukan baharu berkaitan kerja anjal atau fleksibel.

Perkara-perkara itu juga selari dengan pindaan Akta Kerja 1955, yang telah dikuatkuasakan sejak awal tahun lalu.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, penguatkuasaan pindaan Akta Ordinan Buruh Sabah sudah pasti akan menggembirakan semua pihak terutama para pekerja,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast