Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap pelaksanaan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 hari ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan keperluan yang mendesak ketika ini bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing.

“Kita menyambut baik pengumuman bagi negeri Pulau Pinang menerusi Bajet 2025 termasuk pengumuman untuk membina sebuah lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bahagian Seberang Perai yang dijangka akan meningkatkan lagi mutu pelbagai perkhidmatan awam yang sedia ada di UTC Komtar.

“Berkaitan dengan agenda pembangunan tanah wakaf oleh UDA Holdings Berhad (UDA) di negeri ini, Kerajaan Negeri tiada halangan dan akan menyokong hasrat tersebut.

“Ini kerana ia selari dengan permintaan yang pernah diutarakan oleh beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), untuk membangunkan semula penempatan Melayu dan meningkatkan pegangan hartanah mereka di negeri ini terutamanya di bahagian pulau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kon Yeow, pengumuman kerajaan berkaitan empat lagi pelaksanaan projek lain khusus untuk Pulau Pinang dalam Bajet 2025 juga dijangka akan menyuntik pembangunan negeri ini secara keseluruhan.

Projek tersebut adalah Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang, Transit Aliran Ringan (LRT), projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta projek Batu Kawan Industrial Park 3.

“Kesemua projek berkaitan realitinya bakal menyuntik pembangunan negeri ini secara keseluruhan, justeru adalah menjadi harapan saya dan juga seluruh rakyat negeri ini agar pelaksanaannya disegerakan serta menepati jadual pelaksanaan ditetapkan.

“Di samping itu, bagi aspek pendidikan, Universiti Sains Malaysia menelusuri semikonduktor AI selari dengan status Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon ini sekali gus bagi saya, kelebihan kepada universiti awam berkenaan akan memacu lebih banyak potensi pelaburan ke Pulau Pinang pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast