KUALA LUMPUR – Pemain badminton legenda Indonesia, Taufik Hidayat dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan (Wamenpora) dalam Kabinet Merah Putih di bawah pemerintahan Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka untuk penggal 2024-2029.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Prabowo di Istana Presiden Jakarta semalam.
Taufik bakal memikul tanggungjawab besar untuk membantu meningkatkan dan memberikan impak positif bagi kemajuan sukan di Indonesia.
Dia yang berusia 43 tahun akan ditempatkan di kementerian itu bersama menteri penuh, Dito Ariotedjo.
Pada tahun 1999, Taufik meraih gelaran Terbuka Indonesia yang pertama dan dalam tahun yang sama, beliau layak ke final All England dan Terbuka Singapura namun tewas di pentas final kepada pemain Denmark, Peter Gade dan rakan senegara, Hariyanto Arbi.
Sepanjang kariernya, Taufik banyak mencatatkan prestasi sebagai pemain badminton ternama merangkumi enam kejuaraan Terbuka Indonesiapada tahun 1999, 2000, 2002, 2003, 2004, dan 2006.
Dia pernah dinobatkan sebagai juara dunia dan pemain badminton nombor satu dunia, serta mewakili Indonesia menjuarai Piala Thomas.
Sejak masih aktif sebagai atlet, Taufik Hidayat dikenali sebagai seorang sosok yang vokal dan lantang menyuarakan segala ketidakpuasan hatinya baik dalam arena badminton atau sukan di Indonesia secara umum.
Taufik memutuskan untuk bersara daripada dunia sukan badminton pada tahun 2013 dan pernah menjadi kakitangan khas di Kementerian Belia dan Sukan dari 2017 hingga 2018.
Dalam Pilihan Raya 2024, Taufik pernah bertanding sebagai calon anggota Dewan Perwakilan Republik Indonesia mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA).
Bekas Jeneral, Prabowo Subianto mengangkat sumpah semalam sebagai Presiden Indonesia yang kelapan.
Pemimpin berusia 73 tahun itu mengangkat sumpah di Parlimen di ibu negara republik itu di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri para tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 19 pemimpin dan ketua negara asing yang diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.
Dalam Kabinet Prabowo yang beliau namakan ‘Kabinet Merah Putih’, Prabowo melantik 56 Menteri yang terdiri daripada 51 wajah baharu yang mewakili pelbagai agensi Kerajaan. – MalaysiaGazette