KOTA TINGGI – Seorang jurkimpal dan pengutip barang lusuh didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan melupuskan bahan bukti kes penculikan termasuk sepucuk pistol bulan lalu.
Tertuduh, Tan Kuan Wei, 43, dan Siow Boon Pin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama-sama untuk melupuskan senjata api iaitu sepucuk pistol jenis Pietteo Beretta Gardone V.T buatan Itali, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari berserta dua nak kunci.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat melindungi Chong Shih Ming berusia 46 tahun yang disiasat bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Farm Vacay, Jalan Johor River di sini pukul 4.15 petang pada 26 Oktober lalu.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu Kuan Wei dalam rayuan memohon wang jaminan dikurangkan kerana hanya berpendapatan RM2,000 sebulan manakala Boon Pin mengakui tidak mempunyai tanggungan tetapi juga memohon wang jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan setiap seorang penjamin tempatan beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 25 November ini sebagai tarikh sebutan semula. – MalaysiaGazette