Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Hanya satu daripada 26 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pantai Timur telah disiapkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, projek tersebut ialah di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang.

Manakala 10 lagi projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan, 10 lagi sudah diiklankan untuk mendapatkan tender.

Selebihnya masih dalam proses reka bentuk, katanya.

Tambah Fadillah, daripada projek yang belum siap itu, 14 daripadanya menghadapi masalah pelaksanaan berpunca daripada pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.

“Kita sudah dapat persetujuan dengan syarikat utiliti cumanya waktu pelaksanaan kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan dengan segera supaya tidak menjejaskan pelaksanaan projek ini nanti,” katanya Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, katanya, 26 projek RTB di Pantai Timur melibatkan kos RM8 bilion.

Fadillah berkata, meskipun ada projek yang menghadapi masalah pelaksanaan namun tidak akan melibatkan kos tambahan.

“Kalau itu berlaku (masalah tanah dan alihan utiliti) biasanya tidak menjejaskan harga cuma ada lanjutan waktu untuk mereka (kontraktor) siapkan.

“Cuma kalau berlaku perubahan skop kerja yang mengakibatkan tapak diubah sebab keadaan tapak itu ada perubahan daripada segi harga, kalau peruntukan tidak cukup kita terpaksa mohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Ekonomi dan itu mungkin akan jejaskan kos pembinaan itu sendiri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (Perikatan Nasional- Pengkalan Chepa) yang meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan langkah drastik dalam menyelesaikan kelewatan projek RTB di Pantai Timur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast