Tiga individu termasuk seorang ibu kepada mangsa tiba untuk didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Seorang ibu muda bersama dua wanita kenalannya dipenjara 14 hari dan dikenakan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menganiaya anak lelakinya dalam kejadian pada Februari lalu.

Ketiga-tiga tertuduh bernama Nur Adriana Mysara Mohd Nazri, 20 yang juga ibu kepada mangsa didakwa bersama-sama kenalannya, Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 23 dan Adibah Mohd Zaini, 35 membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Mengikut kertas pertuduhan, Nur Adriana bersama dua rakannya didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap anak kandungnya yang mana perbuatan itu boleh mendatangkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 23 Februari lalu antara jam 1.40 petang hingga 1.45 petang di rumahnya yang terletak di Residensi Desamas, Taman Danau Desa di sini ketika kanak-kanak itu berusia tiga tahun enam bulan.

Tiga wanita termasuk seorang ibu kepada mangsa tiba untuk didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 NOVEMBER 2024

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah dengan menjawab pertanyaan jurubahasa bahawa memahami pertuduhan dan juga hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan mohon hukuman pemenjaraan dikenakan sebagai pengajaran kepada mereka atas alasan perbuatan yang dilakukan terhadap mangsa kanak-kanak itu sangat tidak berkemanusiaan.

“Yang Arif, pendakwaan tidak yakin Nor Adriana menyesal dengan perbuatannnya, apa yang diakui oleh tertuduh amat menyedihkan,” katanya sambil menahan sebak ketika prosiding.

Ketika dibenarkan merayu Adibah sambil menangis teresak-esak memohon mahkamah mulia menjatuhkan hukuman berbentuk denda sahaja dan tidak mahu dipenjara atas alasan menanggung dua orang anak berusia 11 dan satu tahun.

“Tidak ada sesiapa menjaga mereka di rumah, suami saya bekerja. Saya mohon ringankan hukuman, mohon hukuman berbentuk denda, saya amat ,menyesal melakukan kesilapan besar ini, berjanji tak mau ulangi kesalahan ini…cukuplah empat hari duduk lokap saya amat rindu kedua-dua anak saya,” katanya.

Manakala tertuduh kedua, Norazlin yang belum berkahwin mengaku bersubahat dalam perbuatan itu dan merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung mak dan ayah serta 10 adik-beradiknya kerana ada yang masih bersekolah.

Selain itu, tertuduh ketiga Adriana Maisarah pula apabila disoal Norina sebab mengurung anaknya menjawab terpaksa meletakkan anaknya dalam sangkar di bahagian dapur rumah Adibah kerana dia bekerja di restoran makanan segera.

“Saya letak anak dalam sangkar pada jam 3 petang hingga 10 malam sehingga saya pulang dari kerja. Adibah tidak ada di rumah semasa saya tinggalkan anak aku,” katanya.

Selepas mendengar rayuan ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam, Norina menjatuhkan hukuman penjara 14 hari ke atas mereka bermula hari ini dan denda RM10,000.

Beliau turut mengenakan hukuman tambahan iaitu jaminan bon berkelakuan baik RM10,000 tanpa cagaran selama lima tahun dan perintah khidmat masyarakat selama 240 jam yang harus dilengkapkan dalam tempoh 6 bulan selepas menjalani hukuman penjara.

Tiga tertuduh termasuk seorang ibu kepada mangsa tiba untuk didakwa atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 NOVEMBER 2024

Menurut fakta kes, pada 4 November lalu, pengadu yang juga ibu mangsa serta salah seorang tertuduh kes ini membuat suatu laporan polis berkenaan rakaman video menunjukkan mangsa iaitu anak lelakinya tersebut ditendang oleh tertuduh pertama beberapa kali di hadapan tertuduh kedua dan tertuduh ketiga di rumah beralamat Residensi Desamas, Jalan 1/109F, Taman Danau Desa, Kuala Lumpur.

Pada 6 November lalu, mangsa telah dirujuk kepada Hospital Kuala Lumpur dan pemeriksaan awal perubatan menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kening, perut, belakang badan, tangan dan kaki mangsa.

Hasil siasatan, pegawai penyiasat kes mendapati ketiga-tiga tertuduh telah bersama-sama menyebabkan penganiayaan kepada mangsa dengan menendang mangsa dan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh pertama telah menendang mangsa beberapa kali sambil dirakam oleh tertuduh kedua, manakala itu, tertuduh ketiga (ibu mangsa) yang turut berada di tempat kejadian semasa insiden itu telah membenarkan mangsa diperlakukan sedemikian. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast