Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan isu kadar caj elektrik dan sewa tapak menara 1Bris milik YTL Communication Sdn. Bhd. yang didirikan di 3,203 sekolah di seluruh negara akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, walaupun kontrak projek tersebut tamat pada 2019, namun kedua-dua isu tersebut masih menimbulkan banyak masalah kerana menara itu masih beroperasi sehingga ke hari ini.

“Selepas 2019, walaupun kontrak telahpun ditamatkan, menara itu masih lagi beroperasi untuk tujuan komersial dan ini merupakan isu legasi yang perlu diselesaikan oleh kerajaan sekarang.

“Pada 2019, kontrak telah tamat, kemudian 2023 apabila kerajaan ini mengambil alih dan tanggungjawab untuk memastikan isu yang timbul ini dapat diselesaikan, maka nota Jemaah Menteri telah disediakan.

“Dalam masa terdekat, dua isu ini iaitu kadar sewa tapak dan caj elektrik ini akan dimuktamadkan oleh pihak Jemaah Menteri,” katanya pada sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Langkawi-PN, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang bertanyakan tentang status terkini projek 1BestariNet dan tindakan undang-undang dikenakan terhadap syarikat terbabit.

Sementara itu, Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mahu mencampuri siasatan pihak berkuasa terhadap syarikat terbabit dan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPMR).

“Komitmen daripada Kerajaan Madani adalah untuk memastikan isu-isu lampau ini dapat diselesaikan dan berkenaan dengan siasatan SPRM kami serahkan kepada SPRM untuk menyiasat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast