Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital telah merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif susulan daripada potensi dan penerimagunaan (adoption) yang tinggi bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia bagi meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan mampan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ia termasuk penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang akan mengawal selia perkembangan AI di Malaysia serta menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital.

Menurut beliau, NAIO merupakan organisasi utama yang akan memantau pelaksanaan teknologi AI mengikut sektor dalam negara demi memastikan segenap aspek akan dijaga dengan baik daripada sebarang ancaman dan penyalahgunaan yang tidak wajar.

“Dalam hubungan yang sama, bagi penyediaan persekitaran dan ekosistem yang menyokong reka bentuk dan pembangunan AI secara beretika dan bertanggungjawab, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah meluncurkan Garis
Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence Governance and Ethics (AIGE) pada 20 September 2024.

“Garis panduan ini turut sama dimurnikan oleh Kementerian Digital dengan melihat kepada ekosistem AI secara menyeluruh meliputi pembangun, penyedia perkhidmatan, pengguna dan penggubal dasar berkaitan AI.

“Ia supaya mematuhi nilai-nilai sosial dan etika, serta kebijakan yang ada bagi memastikan teknologi AI digunakan untuk kesejahteraan umum tanpa mengabaikan hak kemanusiaan dan keamanan individu,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan, Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang meminta Menteri Digital menyatakan dengan perkembangan pesat penggunaan teknologi AI di Malaysia hari ini dan apakah jaminan Kementerian bagi memastikan kod etika dan perlindungan data privasi dapat dikawal daripada berlakunya ketirisan.

Mengulas lanjut, Gobind menambah, selain daripada penguatkuasaan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) yang telah diwartakan pada 17 Oktober 2024 bagi menambah baik tadbir urus melibatkan perlindungan data peribadi di Malaysia, kementeriannya juga melalui Pesuruhjaya  Perlindungan Data Peribadi sedang membangunkan tujuh garis panduan.

Kata beliau, tiga daripadanya adalah berkait secara langsung dengan teknologi AI iaitu Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA); Garis Panduan Mereka Bentuk berasaskan Privasi (PbD) dan Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.

“Kesemua garis panduan ini boleh dijadikan sebagai dokumen rujukan oleh Pengawal-Pengawal Data di Malaysia dengan mengambil kira kepesatan teknologi AI yang merupakan teknologi yang sangat bergantung kepada pemprosesan data yang tinggi.

“Pihak kementerian juga akan terus menjalinkan kerjasama strategik merentasi sektor awam dan swasta agar dapat meminimumkan insiden ketirisan data peribadi pada masa hadapan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuklah penganjuran program literasi AI, pembangunan rangka kerja kawal selia serta Pelan Tindakan Teknologi AI 2026-2030.

“Kesemua gerak kerja ini berupaya untuk memastikan semua pihak berkepentingan lebih bersedia dalam menangani sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast