Wednesday, August 26, 2026
Home Ekonomi Malaysia miliki potensi besar dalam industri REE

Malaysia miliki potensi besar dalam industri REE

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Malaysia memiliki potensi besar terlibat dalam industri unsur nadir bumi (REE) peringkat hiliran sekaligus menjadi negara pengeluar super magnet di dunia khususnya bagi menyokong perkembangan industri pembuatan kenderaan elektrik (EV).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, halatuju REE terkini yang melihat kepada keseluruhan rantaian nilai peringkat huluan, pertengahan dan hiliran telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Keenam Tahun 2024.

Kata beliau, mesyuarat yang  dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini melibatkan kajian cadangan model perniagaan untuk industri REE  yang telah dilaksanakan oleh Akademi Sains Malaysia dengan melihat keseluruhan ekosistem itu.

“Malaysia memiliki potensi yang besar untuk terlibat dalam industri ini terutamanya peringkat hiliran untuk menjadi negara pengeluar yang menyokong perkembangan industri pembuatan EV.

“Namun ekosistem ini memerlukan adanya industri pertengahan tempatan bagi memproses sumber mentah REE dalam bentuk rare earth carbonate (REC) yang dikeluarkan dan dihasilkan oleh lombong-lombong tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, syarikat perlombongan nadir bumi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. telah memberi komitmen dan bersedia membuka kemudahan kepada Malaysia untuk memproses REE negara ini.

“Sekarang proses REE dari Australia berbeza dengan Malaysia. Lynas beri komitmen bahawa mereka sedia untuk membuka satu lagi kemudahan bagi memproses REE dari negara kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, komitmen syarikat itu perlu mematuhi syarat-syarat alam sekitar, kesihatan dan keselamatan yang ketat.

“Di pihak Lynas, mereka meminta tempoh lesen yang panjang dan perkara ini sedang dibincangkan secara terbuka untuk dinilai. Ini kerana pembukaan kemudahan baharu memerlukan pelaburan yang besar dan sekiranya permohonan itu tidak diluluskan, maka tiada masa depan untuk mereka di sini,” katanya.

Buat masa ini, hasil produk Lynas yang diterima dari Australia diproses dan dieksport ke luar negara seperti Vietnam dan Jepun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast