KUALA LUMPUR – Pentas syarahan umum yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di Universiti Al-Azhar, di Mesir memperkukuh hubungan strategik Malaysia dengan institusi ilmu Islam ulung dunia itu, kata Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, undangan universiti berkenaan hingga memberikan platform syarahan tersebut merupakan pengiktirafan universiti itu terhadap ketokohan dan kepimpinan perdana menteri.
“Sebagai sebuah institusi ilmu Islam membawa manhaj kesederhanaan yang menjadi asas ketamadunan ummah, Universiti Al-Azhar telah memberikan sumbangan besar dalam menyatupadukan umat Islam serta membina generasi ilmuan di serata dunia.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar benar-benar menghayati nilai-nilai Islam serta menterjemah kepada tindakan yang terbaik demi negara dan umat seperti dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam Syarahan Umum tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya melalui agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan meneruskan usaha mengambil tindakan atas saranan perdana menteri dalam syarahan umum tersebut agar anak-anak muda Islam diperlengkapkan dengan ilmu-ilmu keagamaan termasuk ilmu al-Quran, selain turut diberikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) agar berlaku integrasi ilmu.
Sabtu lalu, Perdana Menteri bersama delegasi tiba di Kaherah bagi lawatan rasmi empat hari ke Mesir.
Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke Mesir selepas dilantik menjadi Perdana Menteri dengan lawatan pertama dilakukan pada Oktober tahun lepas.
Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelesterian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii. – MalaysiaGazette