SEBERANG PERAI – Majlis pecah tanah bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dijangka berlangsung tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek tersebut kini dalam fasa akhir rundingan dengan kontraktor untuk kos dan reka bentuknya sebelum dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Kita telah mendapat kelulusan dari Jemaah Menteri tetapi dari segi kos terperinci termasuk pembinaan ia perlu dirundingkan dengan pihak kontraktor.
“Proses tersebut mengambil masa beberapa bulan kerana banyak perkara terperinci yang perlu kita lihat dan sekarang ini sudah berada dalam fasa terakhir.
“Jadi, dalam tempoh dua bulan ini, kita harap dapat keputusan muktamad dari segi perjanjian dengan kontraktor dan kita jangkakan majlis rasmi pecah tanah awal tahun depan” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Anthony Loke menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
Turut berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian Induk (HoA) antara RAC dan Rivanis Ventures Sdn. Bhd. bagi pembangunan sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai di sini.
Mengulas lanjut Anthony Loke berkata, projek LRT membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) akan dipanjangkan ke Penang Sentral di sini, atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Di sini berlaku pengubahsuaian skop dan juga reka bentuk jajaran yang ia juga sudah tentu akan ada perubahan dari segi kos pembinaan.
“Kena ada jajaran yang lebih sesuai untuk kereta api lalu. Saya fikir sudah tentu perlu ada pengubahsuaian dari segi reka bentuknya dan sebab itu banyak rundingan dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette