Pengisian agama antara program yang dijalankan.

NILAI – Sa’adah Counseling and Consultation Centre for Wellbeing (Sa’adah Centre), Fakuti Kepimpinan da n Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia bersama Bahagian Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia telah menganjurkan sebuah program Latihan Kepemimpinan Kognitif Ihsan khas untuk penjawat awam bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan produktiviti kepemimpinan.

Program yang berlangsung selama empat hari bermula 4 November hingga 7 November 2024 di Movenpick KLIA Sepang menampilkan beberapa pakar daripada bidang agama, kaunseling dan pembangunan sumber manusia serta melibatkan 15 orang peserta dari seluruh negara.

Pengisian dan aktiviti sepanjang program latihan ini memberi fokus kepada prinsip-prinsip kepemimpinan Islam yang berfokus untuk para peserta memimpin dengan lebih efektif dan sesuai dengan nilai-nilai Islam dalam konteks kepemimpinan moden.

Menurut Ketua Jurulatih yang juga merupakan Penyelaras Saádah Centre, Dr Mohd Zaliridzal Zakaria, program ini sangat penting untuk mengembangkan potensi kognitif ihsan dalam kalangan penjawat awam melalui peningkatan kesedaran psikospiritual diri, kecerdasan emosi, kemahiran membuat keputusan beretika, komunikasi yang efektif, penyelesaian konflik, pembuatan keputusan strategik, pembinaan pasukan berprestasi tinggi dan kepimpinan adversiti.

“Program latihan yang dirangka khusus berlandaskan pendekatan psikospiritual ihsan ini diharap telah dapat meningkatkan jati diri psikospiritual para peserta sekali gus melahirkan penjawat awam yang berkualiti bukan hanya dari sudut luaran, namun dari sudut mental yang sihat dan nilai ihsan yang tinggi.

“Bersesuaian dengan pendekatan Madani yang digarap oleh kerajaan, program-program seperti ini perlu dipergiatkan terutamanya dari sudut psikospiritual keagamaan bagi menerapkan nilai Islam, iman dan ihsan dalam proses membuat keputusan kepemimpinan terutamanya dalam kalangan pemimpin muda penjawat awam,” jelas Mohd Zaliridzal.

Selain aktiviti latihan dalam kumpulan, para peserta turut terlibat dengan aktiviti berbentuk kerohanian seperti solat berjemaah dan zikir yang dibimbing oleh jurulatih utama, Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia yang berkepakaran dalam bidang Tafsir Sufi.

Beliau menekankan tentang pengertian dan nilai ihsan, kaedah praktikal untuk mencapai ihsan, serta panduan penting dalam mendekatkan diri kepada Tuhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast