KUALA LUMPUR – Sektor Pembinaan terus mengekalkan momentum dengan pertumbuhan positif pada 22.9 peratus, mencapai RM41.1 billion pada suku ketiga 2024.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai kerja dalam sektor pembinaan mencapai RM41.1 bilion pada suku ketiga 2024, mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 22.9 peratus, meningkat daripada 20.2 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Momentum pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pengembangan sebanyak 42.6 peratus dalam subsektor aktiviti pertukangan khas, yang terus menunjukkan pertumbuhan yang tinggi.

Selain itu, subsektor bangunan kediaman dan bukan kediaman masing-masing turut menunjukkan momentum dengan peningkatan sebanyak 27.8 peratus dan 27.7 peratus.

Sementara itu, subsektor kejuruteraan awam juga berkembang pada kadar yang lebih sederhana tetapi masih menyumbang secara positif dengan kadar pertumbuhan 12.0 peratus.

“Daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM41.1 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga 2024, sejumlah RM15.2 bilion atau 36.9 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti Pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM6.8 bilion) dan projek utility (RM6.2 bilion),” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bngunan kediaman masing-masing mencatatkan RM11.8 bilion (28.6%) dan RM9.4 bilion (22.8%).

Aktiviti pertukangan khas pula menyumbang RM4.8 billion (11.6%), terutama dalam aktiviti Penyediaan tapak (RM1.3 bilion); pemasangan
elektrik (RM1.2 bilion); dan pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin (RM1.0 bilion).

Sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku ini, menyumbang RM26.1 bilion atau 63.5 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan dengan mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 33.3 peratus (ST2 2024: 15.8%), didorong oleh prestasi yang kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam (54.9%) dan aktiviti pertukangan khas (42.7%).

Sebaliknya, sektor awam, dengan sumbangan sebanyak 36.5 peratus berjumlah RM15.0 bilion, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 8.1 peratus (ST2 2024: 27.8%) didorong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas (42.2%) dan bangunan bukan kediaman (36.6%), dengan masing-masing berjumlah RM1.4 bilion dan RM2.5 bilion.

Mohd Uzir Mahidin berkata, hampir 61.4 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.

Nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM9.3 bilion atau 22.7 peratus, disumbangkan oleh kejuruteraan awam (RM2.8 bilion), diikuti bangunan kediaman dan bukan kediaman masing-masing pada RM2.7 bilion.

Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan nilai RM6.9 bilion atau 16.9 peratus, terutamanya dalam subsektor bangunan bukan kediaman (RM2.6 bilion) dan kejuruteraan awam (RM2.2 bilion). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast