KUALA LUMPUR – Jumlah bayaran tertunggak bagi dana Akaun Amanah Bekalan Industri Elektrik (AAIBE) daripada semua syarikat penjana elektrik kini mencecah RM442 juta dalam tempoh 2018 hingga 2021.
Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga & Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dari jumlah itu, sebanyak RM374 juta telah dibayar, manakala RM68 juta lagi dalam proses pembayaran.
“Jumlah dana Akaun AAIBE terkini sehingga 31 September 2024 adalah RM866,686,747.66.
“Dari jumlah ini RM606,971,000 merupakan pelaburan tetap, manakala RM147,872,976.21 adalah diperuntukkan bagi projek komital sedia ada.
“Kesemua syarikat penjana elektrik telah memberikan kerjasama dan komitmen yang baik untuk menyelesaikan tunggakan mahupun sumbangan tahun semasa.
“Kementerian sentiasa konsisten memantau perkara ini melalui mesyuarat Jawatankuasa AAIBE dan bersedia melakukan perbincangan lanjut dengan syarikat penjana elektrik terlibat untuk membantu mereka melunaskan sumbangan bayaran,” katanya pada sesi jawapan menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Puchong-PH, Yeo Bee Yin yang minta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air menyatakan status akaun AAIBE dari segi jumlah dana terkini dan jumlah tunggakan yang belum dijelaskan oleh penjana tenaga bebas (IPP).
Sementara itu, Fadillah memberitahu Dewan Rakyat penubuhan lembaga amanah itu ialah untuk mendapatkan sumbangan sebanyak 1.0 peratus daripada semua syarikat yang mendapat IPP.
“Pendekatan kita ialah untuk memastikan keterjaminan bekalan, kedua kemampuan dan ketiga kelestarian. Ini trilema yang kita fokuskan dalam pembekalan elektrik negara.
“Daripada sumbangan ini, fokus kita untuk membuat R&D, kedua program pembangunan modal insan iaitu untuk melatih kepakaran dalam sektor tenaga, ketiga program penggalakkan tenaga lestari.
“Seterusnya dana ini untuk mempromosikan bekalan elektrik yang berkaitan secara langsung dengan tujuan penubuhan akaun ini dan untuk meluluskan projek-projek berkaitan dengan apa yang diluluskan jawatankuasa akaun amanah,” katanya.
Menurutnya, AAIBE dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (Petra), Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Tenaga, wakil Suruhanjaya Tenaga, wakil penjana elektrik yang membuat sumbangan dan wakil persatuan penjana bebas. – MalaysiaGazette