MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menghasilkan graduan berkebolehpasaran tinggi dan bergaji premium selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dan negara.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus mencatatkan peratusan tertinggi kebolehpasaran graduan dalam dalam sejarah bagi
tahun 2023 sebanyak 97.7% meningkat berbanding tahun 2022 sebanyak 96.4%.
Jelasnya, kejayaan ini meletakkan UTeM sebagai juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan berada pada kedudukan kelima
dalam kalangan 20 universiti awam di Malaysia.
Ujarnya, pada masa yang sama UTeM terus ke hadapan menyahut aspirasi nasional bagi graduan bergaji premium menerusi pelbagai inisiatif dan agenda komprehensif
yang telah disempurnakan.
“UTeM menjana hasil memberangsangkan apabila peratusan graduan UTeM bergaji premium bagi tahun 2022 mencapai sebanyak 7.6% seterusnya meningkat lagi
kepada 8.6% pada tahun 2023.
“Sehubungan dengan itu, berdasarkan kepada kajian semasa kami menjangkakan lonjakan peningkatan berterusan peratusan graduan bergaji premium bagi tahun
2024 ini,” ujarnya lagi.
Mengulas tentang bilangan pendaftaran pelajar pula, UTeM merupakan destinasi utama kepada lepasan SPM, STPM, Matrikulasi dan diploma bagi menyambung
pengajian teknikal.
“Jika dibandingkan peningkatan bilangan pendaftaran pelajar dicatatkan bagi tempoh dua tahun berturut-turut bagi tahun 2023 dan 2024 yang mana pendaftaran pelajar
diploma seramai 474 orang dan 3,116 orang bagi ijazah sarjana muda tahun 2023.
“Seterusnya lonjakan peningkatan pada tahun 2024 dengan pendaftaran pelajar diploma meningkat 28% kepada 606 orang manakala peningkatan 14% pula bagi
pelajar ijazah sarjana muda menjadikan angka seramai 3,545 orang dicatatkan.
“Pencapaian ini tentunya memberikan impak langsung kepada jumlah keseluruhan enrolmen pelajar UTeM bagi tiga tahun berturut-turut dengan catatan sebanyak
16,986 pelajar tahun 2022, 18,034 pelajar tahun 2023 dan terus meningkat kepada 18,770 orang pelajar bagi tahun semasa 2024,” katanya.
UTeM terus mempamerkan pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat nasional mahupun di pentas dunia, antaranya UTeM telah dinobatkan Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik Malaysia bagi kategori universiti awam menerusi Education + TVET Asia Publications dan turut berjaya merangkul Anugerah Universiti Pilihan Majikan. – MalaysiaGazette
















