Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali bercakap kepada media mengenai isu Tuntut Hormati Perlembagaan Negara selepas perjumpaan khas Pimpinan NGO-NGO di Anjung Melayu, Dewan DPMM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya mengambil tindakan segera berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan yang mempunyai lapan rakaman video mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mencadangkan suruhanjaya tersebut menggunakan video berkenaan sebagai bukti bagi memulakan siasatan.

“SPRM harus bertindak. Tidak perlu menunggu di pejabat sehingga laporan dibuat.

“Sepatutnya seperti kes-kes lain, terus lakukan serbuan. Modus Operandi SPRM dalam kes-kes profil tinggi yang menghiasi dada akhbar selalunya begitu, bukan?,” soalnya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, suruhanjaya berkenaan sepatutnya menyiasat dakwaan yang sedang hangat diperkatakan seperti mana beberapa kes lain seperti melibatkan Aman Palestin dan FashionValet.

Apatah lagi katanya, SPRM berkuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ( Akta 694) bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap kes berkenaan.

“Difahamkan bahawa pemberi maklumat ingin mendapatkan perlindungan, maka pihak SPRM mesti proaktif. Tiada guna hanya komited dalam sesetengah kes tetapi longlai dan layu dalam kes lain,” dakwa beliau lagi.

Sebagai rekod, Sabtu lalu, tersebar dakwaan kononnya seorang ahli perniagaan mempunyai lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun berbincang mengenai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Walaubagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tiada aduan diterima berkaitan video itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast