Temubual SkopMG bersama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan pelantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkuatkuasa Isnin lalu.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, ini kerana pelantikan itu telah menimbulkan ‘cakap-cakap’ ramai kerana Mohd. Dusuki sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan di Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dakwa beliau, apakah Mohd. Dasuki yang terlibat dalam memberikan hujah-hujah untuk membebaskan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapat ganjaran atas peranannya membolehkan Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dari mahkamah.

“Dan adakah disebabkan oleh budi beliau, beliau dapat (jawatan)? Yang ini kata-kata orang, kata-kata di luar sana.

“Adakah disebabkan oleh budi, dia dapat jadi peguam negara?” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa
di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengkritik pelantikan Mohd. Dusuki berdasarkan penglibatannya dalam DNAA yang diberikan kepada Ahmad Zahid berhubung kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati bagi menguatkan hujahnnya, beliau turut memetik ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam program UMNO pada 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang memberitahu, perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mesti melantik salah seorang ‘orang kita’ untuk jawatan peguam negara.

Namun sebaik habis berbahas, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(6) terhadap Mas Ermieyati yang menyatakan bahawa tiada ahli Dewan Rakyat boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada seseorang ahli lain.

Shahar mengkritik Mas Ermieyati kerana didakwanya berhujah berdasarkan hearsay (khabar angin) dan menegaskan bahawa dia sepatutnya lebih arif sebagai Pengerusi PAC.

“Adakah yang berhormat suka mengambil perkara yang hearsay untuk membawa (isu) ke dalam Dewan?

“You (kamu) sebagai Pengerusi PAC, sepatutnya kalau yang berhormat betul-betul (ada maklumat), gunakan media di luar,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian menasihatkan ahli Parlimen supaya tidak menjadikan khabar angin (hearsay) sebagai bahan dalam sesi perbahasan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Alice Lau membuat ketetapan itu berdasarkan Peraturan 36 (6) iaitu sangkaan jahat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast