KLUANG – Polis menahan seorang lelaki memegang parang dan berkelakuan mencurigakan di Taman Megah di sini seperti yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Moh Noh berkata, pihaknya mengesan rakaman video terbabit semalam yang memaparkan kelakuan lelaki berkenaan.
“Dalam rakaman video berdurasi 8 saat itu memaparkan seorang lelaki dipercayai warga tempatan memakai topi baseball dan memegang parang dalam keadaan mencurigakan.
“Bertindak atas maklumat video tersebut, sepasukan anggota polis task force dari Balai Polis Kluang digerakkan ke taman itu pada pukul 3.10 petang semalam,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, hasil pemantauan dan rondaan yang dijalankan, pihak polis berjaya mengesan seorang lelaki berada di luar sebuah rumah.
Menurut Bahrin, lelaki tersebut menyamai lelaki yang berada dalam video berkenaan.
Hasil pemeriksaan katanya, tidak menemukan sebarang apa-apa barang yang salah.
“Semakan rekod lampu mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Ujian air kencing mendapatinya positif dadah jenis Methapetamine,” ujarnya.
Tambahnya, suspek ditahan reman selamat tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.- MalaysiaGazette