PUTRAJAYA – Kira-kira 9,000 anggota polis yang masih tidak mendapat kemudahan kediaman kerajaan akan ditempatkan di kuarters milik Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan KPM berkenaan berhubung perkara itu.
Beliau berharap agar perkara itu dapat direalisasikan pada suku pertama tahun depan.
“Dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri, diberitahu bahawa KPM ada 17,000 kuarters guru yang kosong, tak didiami. Di pihak polis pula, ada lebih kurang 9,000 anggota masih tak cukup kuarters.
“Anggota polis tak cukup kuarters 9,000 (anggota), kuarters KPM kosong, tak diduduki (sebanyak) 17,000 (unit), jadi apa tindakan yang betul sebenarnya?
“Tindakan yang betul adalah bincang dengan KPM, boleh atau tidak lebihan kuarters yang tak diduduki itu, didiami anggota polis,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan KPM menawarkan kepada agensi kerajaan lain untuk menduduki kuarters guru yang tidak berpenghuni untuk dimanfaatkan semula kemudahan itu.
Beliau dilapor berkata, antara langkah dilakukan pihaknya, adalah di kuarters rumah guru bertingkat di Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji dekat Kangar, Perlis yang tidak berpenghuni.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya sedia mencari peruntukan bagi menampung kos membaik pulih kuarters terbabit supaya ia sesuai didiami oleh anggota polis serta keluarga mereka.
“(Soal) duit kita akan cuba cari tapi selesai masalah (isu polis tak cukup kuarters) bermaksud besar kesannya kepada seorang konstabel polis, lans korporal atau sarjan kalau ada (kuarters ini), sangat besar kesannya kepada mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















