Seng Lee menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi dilakukan, pada sidang akhbar di IPD Kulai, Kulai hari ini

KULAI – Polis mencekup empat lelaki dalam keadaan lalok di bawah jambatan selepas mengambil dadah dalam serbuan di Jalan Seelong-Ulu Tiram, di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek lelaki warga tempatan berumur antara 33 hingga 49 tahun.

Beliau memberitahu, suspek ditahan bersama-sama empat paket dadah disyaki heroin seberat 1,036 gram.

“Semua suspek positif dadah jenis morfin dan masing-masing mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Ketika serbuan dilakukan, kumpulan itu cuba melarikan diri namun gagal selepas dikepung pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka adalah penganggur dan mendapatkan bekalan dadah dari luar daerah ini.

Ketika serbuan ujarnya, mereka dipercayai baru selesai mengambil dadah di kawasan tersebut.

Sementara itu, Seng Lee berkata, dalam operasi berasingan pihaknya menahan lelaki warga tempatan berusia 43 tahun di Lorong Bahagia, Bukit Batu, di sini, awal pagi kelmarin.

“Suspek ditahan bersama 21.78 gram dadah disyaki heroin. Dalam dua serbuan ini polis merampas dadah berjumlah RM11,600, yang sekiranya terlepas boleh digunakan seramai 2,000 penagih.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 21 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast