KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) telah mengambil tindakan terhadap seorang pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelajar.
Institut pengajian tinggi awam itu dalam kenyataan berkata, pensyarah berkenaan telah dikenakan tindakan tahan kerja.
Dalam kenyataan ringkas, universiti itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan.
“Universiti Malaya ingin memaklumkan bahawa pensyarah yang dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual telah diambil tindakan tahan kerja di bawah Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
“Universiti Malaya akan terus memastikan persekitaran kampusnya selamat dan kondusif termasuklah dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan salah laku tanpa mengira jawatan atau status,” katanya.
Kelab Feminisme UM sebelum ini menuntut universiti itu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli akademik terbabit.
Tiga tuntutan dikemukakan dalam memorandum yang dihantar, antaranya mendesak tugas pensyarah berkenaan digantung, siasatan kes secara adil dan tegas, serta memperbaiki kelemahan polisi anti gangguan seksual sedia ada.
Kelab itu mendakwa, seorang pensyarah universiti tersebut didakwa menghantar gambar lucah kepada beberapa pelajarnya.
Sementara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif berhubung kes dakwaan gangguan seksual yang melibatkan seorang pensyarah universiti tersebut.
Katanya, UM juga mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual, dan langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak,” menurut kenyataan tersebut.
KPT berkata, individu yang dikaitkan juga telah membuat laporan polis dan siasatan turut dijalankan pihak berkuasa, sehubungan itu semua pihak diseru agar memberikan ruang supaya siasatan menyeluruh dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette