Dr Fitri Fareez Ramli (dua dari kanan) bergambar bersama-sama Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pensyarah Perubatan di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fitri
Fareez Ramli diundang oleh Yayasan Khazanah bagi mempamerkan karya-karya seni lukisan sempena Majlis Minum Petang Kepimpinan Pemegang Biasiswa dan Alumni Khazanah di sini, baru-baru ini.

Fitri Fareez menampilkan sembilan lukisan daripada Koleksi Kembara dan Suratan yang dihasilkan pada tahun 2016 ketika beliau bekerja di Perak, selain lukisan-lukisan yang dihasilkan olehnya sewaktu melanjutkan pengajian di Oxford pada tahun 2021 hingga pertengahan tahun ini.

Karya seni tersebut dilukis dengan menggunakan teknik lukisan akrilik bertekstur yang bertemakan abstrak.

Dalam usaha memartabatkan Bahasa kebangsaan, beliau juga menggunakan istilah-istilah bahasa Melayu untuk menamakan setiap lukisan tersebut.

Beliau berkata, naratif yang digunakan pada setiap lukisan menceritakan konteks lukisan dari sisi pelukis yang juga membawa pesanan-pesanan yang bertemakan jati diri dan kesihatan mental.

“Karya-karya tersebut bukanlah sesuatu yang asing daripada bidang akademik yang saya diceburi. Kajian PhD yang saya jalankan juga berkaitan dengan penelitian ubat bagi kemurungan dengan menggunakan alat yang dapat mengukur fungsi emosi dan perubahan kimia dan fungsi pada otak pada peringkat awal rawatan,” katanya.

Fitri Fareez merupakan seorang pensyarah perubatan, pemegang PhD dalam Psikiatri dan seorang artis, mencontohi kepimpinan polimatik melalui kebolehannya untuk menggabungkan bidang sains dan seni.

Beliau yang juga penerima biasiswa Merdeka di bawah Program Pusat Pengajian Islam Oxford-Khazanah telah berjaya menyelesaikan pengajian PhDnya dalam tempoh tiga tahun di universiti ternama dunia di bawah bimbingan pakar terkemuka bidang Psikofarmakologi, Profesor Philip Cowen.

Sepanjang melanjutkan pengajian di United Kingdom, beliau telah menghasilkan sembilan artikel yang diterbitkan dalam jurnal berindeks dan mendapatkan geran-geran daripada organisasi-organisasi antarabangsa seperti Guarantors of Brain UK, British Association of Psychopharmacology dan Polish National Agency for Academic Exchange (NAWA).

Sepanjang tiga tahun pengajiannya di United Kingdom, lapan pameran telah berjaya diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kedutaan Besar Malaysia di United Kingdom, TalentCorp, Malaysian Association of Postgraduates and Professional UK dan University of Oxford (Department of Psychiatry & St Cross College). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here