KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin akan mencabar penyandang, I Vikneswaran bagi jawatan nombor persatuan itu pada pemilihan Sabtu ini.
Beliau yang Presiden HockAcademy sebelum ini pernah menduduki kerusi nombor satu badan induk itu bagi penggal 2019-2022.
Megat dalam satu kenyataan memberitahu, barisan baharu yang dicalonkan dalam AGM kali ini bersedia untuk melakukan perubahan lebih positif dalam persatuan.
“Kami mempunyai beberapa perancangan yang akan diberi tumpuan antara yang paling penting mengembalikan pembangunan pemain atau bakat baharu termasuk juga untuk pengadil dan barisan teknikal.
“Sudah tentu infrastruktur juga akan diberi perhatian selain memastikan hubungan lapisan komuniti terus erat.
“Selain program-program sosial akan diketengahkan juga aktiviti bersama ahli-ahli gabungan.
“Dan yang paling penting juga adalah untuk melihat liga-liga di sekolah Kuala Lumpur dalam semua kategori peringkat umur, selain akan menganjurkan kejohanan liga dan sosial bagi kategori veteran antara kelab antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PHKL itu turut menyaksikan pencalonan baharu dalam setiap jawatan yang dipertandingkan.
Jawatan timbalan presiden akan turut menyaksikan pertandingan apabila Muhamad Fariz Mustafa menentang Joherman Amir dan Datuk Rosal Azimin Ahmad.
Bagi pencalonan naib presiden turut menjadi tumpuan adalah Ajitpal Singh, Razalee Yahya,Wong Khee Hon bakal berdepan dengan tujuh lagi pencalonan lain dalam AGM kali ini.
Pencalonan naib presiden (wanita) pula menyaksikan Zaidatul Syukriyah Abd Malik berdepan dengan Hebzibah Sudin.
Pencalonan bagi jawatan setiausaha pula dua nama menjadi tumpuan iaitu Sukhji Singh berdepan dengan Vignesvaran Suppiah.
Dan jawatan bendahari juga menyaksikan dua nama pencalonan iaitu Muhamed Zubir Abdul Razak dan Datuk Hasry Sham Chasmen. – MalaysiaGazette