Zulkifly (depan) pada Operasi Khas Motosikal yang dilakukan JPJ Pulau Pinang di Bagan Ajam, Butterworth malam tadi.

BUTTERWORTH – Tiada lesen memandu masih menjadi kesalahan tertinggi direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi operasi motosikal yang dilakukan sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 114,933 buah motosikal telah diperiksa sepanjang tahun lalu dengan 24,588 daripadanya diambil tindakan.

Jelas beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 44,590 notis saman dikeluarkan dengan 778 motosikal telah disita.

“Tiada lesen memandu kekal sebagai kesalahan paling tinggi sepanjang 2024 iaitu sebanyak 12,670  notis saman dikeluarkan,” katanya kepada pemberita pada Operasi Khas Motosikal 2024 yang diadakan di Bagan Ajam malam tadi.

Kesalahan kedua tertinggi yang direkodkan pula melibatkan kes cukai jalan tamat tempoh (8,856) dan diikuti kesalahan tiada perlindungan insurans (8,123).

“Antara kesalahan lain yang menjadi tumpuan seperti melanggar isyarat lalulintas (lampu merah), melakukan modifikasi keterlaluan, lumba haram dan tidak memakai topi keledar,” katanya lagi.

Operasi  bermula pukul 8.30 malam hingga 3 pagi itu turut dikenali sebagai Operasi Ambang Tahun Baru 2025 yang dijalankan serentak di seluruh negara dengan tujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta meminimumkan risiko kemalangan yang melibatkan motosikal.

Tambah Zulkifly, penguatkuasaan secara berfokus dilaksanakan dengan tumpuan utama  memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan penunggang atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta  Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah di bawahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast