Dari kiri, Nor Rafidz Nazri, Pengarah Jabatan Inklusi Kewangan Bank Negara Malaysia; Mak See Sen, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance; Alina Amir, CEO dan Pengasas bersama Arus Academy; dan Khairul Anuar Che Yeop, Ketua ESG & Inisiatif Strategik FWD Insurance.

KUALA LUMPUR – FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) meneruskan misi transformasinya untuk meningkatkan literasi kewangan di kalangan belia Malaysia melalui kerjasama dengan Arus Academy bagi program Fun(d) for Life – Edisi Uni (FFL Uni).

Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa 500 orang pelajar daripada universiti awam seluruh Malaysia dengan kemahiran kewangan melalui kurikulum yang merangkumi latihan, bimbingan, dan aktiviti khidmat masyarakat.

Pada akhir program sepanjang tiga bulan ini, pelajar akan menerima pemindahan tunai sebanyak RM3,000 dalam bentuk simpanan atau deposit tetap, membolehkan mereka membina kebebasan kewangan dan memupuk tabiat positif untuk masa depan mereka.

“Di FWD Insurance, celik kewangan adalah sesuatu yang amat dekat di hati kami, kerana kami percaya ia kemahiran asas yang perlu dimiliki oleh setiap individu.

Melalui program ini, kami melangkaui aspek pendidikan dengan menawarkan pendekatan holistik yang bukan sahaja melengkapkan golongan muda dengan kemahiran mengurus kewangan, tetapi juga menyediakan sumber untuk mereka mengaplikasikan apa yang telah dipelajari,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance, Mak See Sen.

“Dengan melabur dalam perkembangan mereka, kami memperkasa individu dan membentuk masyarakat yang celik kewangan, sekali gus memacu kemajuan ekonomi Malaysia.

“Program Fun(d) for Life – Edisi Universiti melengkapkan pelajar universiti dengan kemahiran kewangan dan autonomi untuk membuat keputusan yang bijak mengenai masa depan mereka.

“Pelajar universiti berada pada peringkat umur yang penting dalam hidup mereka, di mana pembentukan tabiat kewangan yang kukuh dapat memberi impak besar kepada matlamat mereka di masa hadapan; sama ada dalam bidang kerjaya mahupun kehidupan peribadi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Arus Academy, Alina Amir.

Program FFL Uni selama tiga bulan ini akan bermula dengan kem intensif selama tiga hari yang memberi tumpuan kepada penetapan matlamat kewangan, penyediaan bajet dan penciptaan pelan kewangan yang komprehensif merangkumi simpanan, perlindungan, dan pelaburan.

Sepanjang program ini, pelajar akan menerima bimbingan berterusan, bersama kelengkapan bahan sumber untuk membantu mereka menjejak perbelanjaan, semak semula tabiat kewangan mereka, dan mencipta pelan kewangan yang mampu mereka laksanakan.

Peserta juga akan merekodkan perjalanan mereka melalui diari mingguan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tabiat dan tahap pendidikan kewangan mereka.

Komponen penting dalam inisiatif ini merangkumi lapan jam aspek khidmat masyarakat, di mana peserta akan mengajar topik literasi kewangan kepada sekurang-kurangnya 20 rakan sebaya.

Menjelang akhir program, setiap peserta akan menerima geran bernilai RM3,000 yang akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan atau deposit tetap untuk menyokong matlamat kewangan mereka dan memupuk kebebasan jangka panjang.

Dengan jangkaan lebih 10,000 orang individu yang akan menerima manfaat melalui penglibatan secara langsung dan juga aspek khidmat masyarakatnya, inisiatif ini mengukuhkan visi Malaysia untuk membentuk masyarakat yang celik kewangan, berdaya tahan, dan inklusif dari aspek ekonomi.

Selaras dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) FWD Insurance untuk memperkasa komuniti, program ini menggabungkan kaedah pengajaran inovatif Arus Academy dengan komitmen FWD Insurance terhadap keterangkuman kewangan, bekerjasama menuju matlamat bersama untuk memupuk generasi celik kewangan.

Dengan mendekati pelajar institusi pengajian tinggi, FFL Uni memperluaskan impaknya kepada belia dari pelbagai peringkat umur, sekali gus mempromosikan masa depan yang lebih inklusif dan mampan di seluruh negara.

Sebelum ini, kolaborasi antara Arus Academy dan FWD Takaful Berhad telah memberi manfaat kepada lebih 47,108 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Januari hingga Disember 2024 melalui inisiatif pendidikan kewangan yang menyeluruh, termasuk portal pembelajaran interaktif, kem celik kewangan, dan acara berasaskan reka bentuk sepanjang tahun 2024.

Kohort pertama, yang terdiri daripada 50 pelajar, akan bermula pada Februari 2025. Pemohon yang berminat boleh menghantar permohonan mereka melalui pautan berikut: https://arus.cc/FFLUni-registration-of-interest-2025. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.instagram.com/fundforlife_uni/– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here