KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan Sarawak berkuat kuasa pada 4 hingga 5 Februari ini.
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ia hasil daripada analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku pada 4 sehingga 7 Februari ini.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Selain itu, kata Mohd Hisham, pihaknya juga mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan yang berkuat kuasa pada 4 hingga 7 Februari ini.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















