GEORGE TOWN – Dalam usaha memperkasakan sukan bola sepak di Pulau Pinang, Kolektif Jalan Terus, sebuah kumpulan sukarelawan yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mengadakan klinik bola sepak di daerah Timur Laut.
Koordinator Kolektif Jalan Terus, Mohd Nazirullah Nordin berkata, program ini bertujuan memberikan peluang dan ruang kepada anak muda untuk mengasah bakat mereka, sekali gus melahirkan pemain berpotensi tinggi.
“Keunikan program ini adalah penglibatan ibu bapa yang turut diberi pendedahan mengenai cara untuk menyokong anak mereka dalam sukan bola sepak.
“Selain daripada menerima taklimat tentang hala tuju sukan ini, ibu bapa juga didedahkan dengan aspek penting seperti pemakanan, penjagaan kesihatan, dan cara memberi motivasi kepada anak-anak mereka.
“Kita nak menggalakkan lebih ramai anak muda Pulau Pinang melibatkan diri dalam sukan bola sepak, sekaligus memberi peluang untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, perasmian Klinik Bola Sepak Jalan Teruih Peringkat Daerah Timur Laut disempurnakan Pegawai Tugas Khas Steven Sim iaitu Edry Faizal Eddy Yusof dan penasihat EX Penang, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza bertempat di Padang Polo di sini, semalam.
Tambah Mohd Nazirullah, seramai 100 orang peserta telah menyertai klinik bola sepak di peringkat daerah Timur Laut yang terbahagi kepada empat kategori iaitu bawah 10, 12,14 tahun serta bawah 8 tahun. – MalaysiaGazette